#AJL34: Industri Muzik Semakin ‘Berani’?

Industri digegarkan oleh barisan pemuzik handalan dengan konsep yang menarik

Malam Ahad lepas bukanlah malam minggu yang biasa. Demam AJL melanda peminat-peminat muzik Malaysia. Kita dihidangkan dengan lebih 12 persembahan yang serba hebat daripada pelbagai artis yang bertanding dan juga artis jemputan.

Jika anda sedikit ketinggalan, penyanyi muda Naim Daniel diumumkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-34. Beliau jmemenangi RM50,000 dan sebuah trofi. Malam gilang-gemilang itu juga mengangkat ‘Lembah Kesepian’ nyanyian Haqiem Rusli sebagai Anugerah Pilihan Peminat Setel yang dipilih melalui undian dari aplikasi Setel.

Walaupun terdapat beberapa masalah teknikal, AJL kali ini tetap menyerlah dan berada dalam liganya yang tersendiri. Berbanding tahun-tahun lepas, ramai netizen yang mengatakan siri 34 ini adalah antara yang terbaik.

Persembahan pembukaan yang memukau

Anugerah Juara Lagu kali ini membuka tirainya dengan persembahan oleh gabungan artis-artis hebat tanah air seperti Lah Ahmad, Black Hanifah, Adibah Noor, Hazami, Jaclyn Victor, Misha Omar dan lain-lain.

Persembahan pembukaan ini disusun dengan menarik bersama elemen-elemen yang mengejutkan – bermula dengan lagu ‘Teruna dan Dara’, kehadiran Lah Ahmad yang ditunggu-tunggu dan gandingan artis-artis ternama ini dalam menyanyikan lagu terakhir, yang gahnya seakan-akan crossover Avengers: Endgame.

Tok Ti masih berbisa

Bob Yusof, atau Bob AF yang pernah terkenal dengan aksi tarian 90 darjahnya yang mirip Michael Jackson pada zaman Akademi Fantasianya dulu, tampil dengan persembahan vokal yang mantap. Bob dan pasukannya juga bijak dalam mencatur strategi, kerana mereka telah berjaya membawa Dato’ Sri Siti Nurhaliza ke pentas AJL untuk bersama Bob mempersembahkan lagu ‘Anta Permana’ dalam versinya yang terbaik sekali. Dicipta oleh Hael Husaini dan Ezra Kong, lagu tersebut menduduki tempat ketiga di belakang ‘Bangun’ ciptaan Aman Ra dan Navigator.

Aman Ra ‘bangunkan’ nama Budak Flat ke arena nasional

Seperti rakan seperjuangannya Altimet pada tahun lepas, Aman Ra membawakan citarasa hip-hop yang berperisa tempatan ke AJL dengan lagu ‘Bangun’ yang menjadi antara lagu hip-hop paling berpengaruh tahun lalu, terutamanya di kalangan anak-anak PPR dan warga kota.

Aman Ra, yang pernah dipanggil ‘Tupac Shakur Malaysia’, menyajikan peminatnya dengan satu demonstrasi yang cukup bertenaga, dimulakan dengan montaj video yang menyentuh hati. Rapper tersebut turut menjemput Azim Jenk sebagai drummer dan ahli kumpulan Budak Nakal Hujung Simpang.

Harapnya ‘Bangun’ dapat menjadi inspirasi untuk generasi muda yang lain!

Drama Band memang ‘drama’

Dengan adanya nama Drama Band dalam barisan finalis Anugerah Juara Lagu, semestinya kita harus menjangkakan drama, dalam apa segi sekalipun. Persembahan band tersebut yang diketuai oleh Aepul Roza memang tidak menghampakan.

Drama Band muncul di pentas AJL dengan penuh gaya, ditambah lagi dengan solekan Aepul yang menyerupai Ryuk dari siri anime Death Note. Dengan penuh drama, kugiran ini sempat menyentuh beberapa isu  yang pernah viral tahun lepas, termasuklah Dewi Remaja, kontroversi PU dan sketsa penutup yang cukup ‘pedas’.

Walaupun berdepan dengan kritikan, Drama Band berjaya membawakan sesuatu yang luar dari yang biasa – suatu konsep yang menjangkau aspek kekuatan vokal yang selalunya menjadi taruhan dalam pertandingan seperti ini.

Pemilihan artis dan genre yang lebih bervariasi, menonjolkan warna-warni industri

Mungkin Naim Daniel meraih kejayaan yang agak besar pada Anugerah Juara Lagu kali ini, tetapi pemenang yang terbesar malam itu adalah industri muzik dan peminat-peminatnya. Sejak beberapa tahun yang lalu, AJL telah membuktikan bahawa mereka cuba bersikap lebih terbuka kepada komposisi dan genre muzik yang berbeza.

Malam itu, kita dapat lihat Kugiran Masdo, sebuah kugiran indie yang pernah dikhabarkan sebagai salah satu pencetus kebangkitan indie Malaysia, diberi peluang mencuba nasib dalam mempersembahkan seni mereka di peringkat yang tertinggi. Mereka mungkin pulang dengan tangan kosong, tetapi kumpulan ini telah memberikan harapan kepada kumpulan-kumpulan indie yang lain untuk lebih berani tampil menawan para peminat muzik di arus perdana.

Nak tonton video di atas tapi video lambat load? Bebaskan diri anda dari belenggu stres dengan pelan prabayar #BEBAS daripada unifi.