Bagaimana Filem Asia Dapat ‘Tawan’ Hollywood

Banyak iktibar yang boleh diambil industri tempatan dari kisah Bong Joon Ho

Cover photo via CJ E&M

 

Dalam era perfileman yang didominasi filem-filem adiwira Disney dan Warner Brothers, filem-filem bebas atau yang bukan sebahagian daripada mana-mana francais kurang mendapat sambutan di kalangan peminat wayang gambar. Bukan kerana kualiti filem lain sudah merudum tetapi tumpuan lebih diberikan kepada filem-filem adiwira yang mempunyai bajet pemasaran yang lebih besar. Pendek kata, cerita-cerita original dianaktirikan oleh Hollywood, sehingga direktor legenda seperti Martin Scorsese pun susah nak cari makan!

Dengan fenomena sebegini, siapa sangka sebuah filem Asia yang menggunakan bahasa ibundanya dapat menggegarkan seluruh Hollywood, sehebat petikan maut Thanos dalam Avengers: Infinity War?

Dalam pertaruhan untuk segmen Filem Terbaik di Anugerah Oscar baru-baru ini, ramai yang meramalkan Todd Phillips akan membawa pulang trofi tersebut selepas filemnya Joker memberi nafas baru kepada DC. Tapi dalam diam, Parasite telah menawan hati majoriti yang hadir pada malam itu. Kemenangan Bong Joon Ho amat dinantikan ramai. Lebih bermakna, Parasite melakar sejarah sebagai filem bukan berbahasa Inggeris pertama yang meraih anugerah tersebut.

Siapa Bong Joon Ho ini sebenarnya?

Image via AP/Free Malaysia Today

Bong Joon Ho bukanlah calang-calang orang. Beliau sebenarnya sudah lama berkecimpung dalam arena perfileman, malah filem pertamanya Memories of Murder dan juga Mother telah merangkul beberapa anugerah di Korea Selatan.

Snowpiercer, yang menampilkan Chris Evans (Captain America) dan Tilda Swinton merupakan cubaan pertama Bong Joon Ho dalam dunia Hollywood, sebelum dijemput oleh Netflix untuk menghasilkan filem asal Netflix bertajuk Okja.

Walaupun hampir kesemua filem beliau mendapat respons yang baik daripada para pengkritik, Bong terpaksa menempuh pelbagai cabaran untuk terus berkarya di Hollywood. Beliau ‘bergaduh’ dengan penerbit filem Snowpiercer Harvey Weinstein hinggakan beliau terpaksa berbohong dan mengatakan bahawa bapanya seorang nelayan, hanya untuk menyampaikan visinya.

Asal usul Parasite

Image via CJ E&M

Sewaktu Bong sedang sibuk dengan penggambaran Snowpiercer, seorang pelakon teater, yang juga merupakan rakan kepada Bong, mendorongnya untuk mengarah sebuah persembahan teater. Pada masa yang sama, rakannya menceritakan pengalamannya menjadi tutor kepada anak sebuah keluarga yang kaya di Seoul, yang akhirnya menjadi ilham kepada filem Parasite. Adegan di pengakhiran filem tersebut juga diinspirasikan kisah benar seorang bangsawan wanita dan anaknya yang dibunuh dengan kejam oleh orang-orang gajinya di rumah mereka sendiri.

Nama ‘Parasite’ itu juga ada cerita di sebaliknya. Seperti yang kita tahu, parasite atau parasit dalam Bahasa Malaysia ialah organisma yang mendapat manfaat daripada organisma yang lain. Dalam konteks filem ini, parasit merujuk kepada dua pihak: keluarga miskin yang menggunakan keluarga kaya untuk kepentingan sendiri, dan keluarga kaya yang turut menggunakan keluarga miskin untuk kerja-kerja buruh. Bong menganggap kedua-dua pihak ini sebagai parasit.

Cerita yang lucu tapi realistik

Dalam durasi sejam yang pertama, genre Parasite mungkin lebih kepada komedi keluarga: sebuah keluarga miskin, keluarga Kim, yang gigih mencari jalan untuk mengambil kesempatan terhadap keluarga Park yang serba berada. Cara ahli keluarga Kim memanipulasi peluang pekerjaan di dalam rumah keluarga Park sangat mencuit hati.

Tetapi visi Bong Joon Ho menjadi lebih jelas dalam jam kedua. Tema filem tersebut perlahan-lahan bertukar kepada isu jurang kekayaan dan hubungan di antara golongan kaya dengan yang miskin. Dalam komedinya, Bong mahu mendidik golongan kaya tentang keperitan hidup orang yang tidak bernasib baik dengan membuat perbandingan yang berakhir dengan insiden berdarah.

Bolehkah industri filem Malaysia menghasilkan naskhah yang berkualiti seperti Parasite?

Semestinya boleh. Tetapi banyak usaha yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak antaranya menangani isu play safe. Para penerbit di Malaysia perlu lebih berani dalam mengambil risiko untuk menerbitkan filem yang experimental. Filem seperti Jagat, Songlap dan Crossroads: One Two Jaga merupakan bukti yang industri filem Malaysia tidaklah ketandusan idea untuk menghasilkan skrip yang baru dan asli.

Semua takkan lupa sumbangan anak jati Sarawak, James Wan, kepada francais filem seram terbaik di Hollywood iaitu SAW dan The Conjuring. Henry Golding pula sedang menempa nama di medan yang sama selepas mempamerkan bakat lakonannya dalam Crazy Rich Asians manakala buku The Ghost Bride oleh Yangsze Choo telah diadaptasi kepada sebuah siri Netflix. Anak-anak Malaysia ini sedang rancak mewarnai dunia perfileman dengan menambah perisa Malaysia ke dalam belanga budaya Hollywood.

Jadi tak mustahillah untuk kita juga ‘tawan’ Hollywood suatu masa nanti. Buat masa sekarang, kita layan dulu Parasite hasil karya Bong Joon Ho. Jika anda seorang pelanggan unifi TV, bolehlah tonton Parasite secara on-demand. Jika belum langgan, tunggu apa lagi? Tekan link ini: https://unifi.com.my/personal/tv