Cara Mendidik Anak Anda Mengenai COVID-19

Ingin berbicara tentang COVID-19 dan PKP dengan anak anda? Baca panduan ini

Pelbagai cabaran hebat harus dihadapi oleh golongan ibu bapa sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Cabaran yang utama adalah melindungi kesihatan fizikal anak-anak mereka daripada jangkitan COVID-19 serta memantau emosi anak-anak agar tidak terdedah kepada paranoia dan kebimbangan yang boleh memberi kesan kepada tumbesaran mental mereka.

Bagi membantu para ibu bapa yang tercari-cari kaedah terbaik untuk berbincang dengan anak-anak tentang COVID-19 dan PKP di Malaysia, kami telah menghasilkan komik interaktif khas untuk membantu anda. Anda boleh mencetak halaman komik ini dan meluangkan masa untuk berinteraksi dengan anak-anak di rumah.

 

Ikuti juga tip yang dapat anda manfaatkan dalam menyampaikan maklumat mengenai COVID-19 kepada anak-anak tersayang.

Lawan kebimbangan anda terlebih dahulu

Kita sentiasa dihujani dengan berita yang melaporkan penularan COVID-19 di negara ini dari pelbagai sumber dan pada setiap waktu. Mungkin banyak persoalan yang timbul di kotak fikiran anak-anak anda apabila mereka melihat orang ramai memakai topeng muka. Mereka mungkin tertanya-tanya mengapa sekolah ditutup atau mengapa atuk dan nenek tidak dapat datang melawat mereka.

Kanak-kanak yang masih kecil sekalipun dapat membaca kerisauan ibu bapa mereka melalui nada percakapan atau mimik muka. Tidak mustahil anak-anak anda sebenarnya memerhatikan reaksi anda ketika mendengar atau membaca tentang COVID-19 di kaca TV atau telefon pintar. Adalah penting untuk anda berada dalam keadaan tenang dan yakin untuk berbual secara positif dengan anak anda tentang pandemik ini.

Image via: ParentingHub

Kuatkan semangat si manja

Pertama sekali, anda haruslah menilai terlebih dahulu tahap pemahaman anak anda mengenai virus ini. Sekiranya anak anda tidak pernah mendengar tentang COVID-19 atau tidak berminat, anda mungkin tidak perlu berbual mengenainya sama sekali untuk mengelakkan anak anda daripada berasa bimbang dan takut. 

Perhatikan tindak balasnya dan biarkan dia memulakan perbincangan tersebut. Sediakan ruang yang selamat untuk kanak-kanak menyuarakan segala perasaan tentang keadaan semasa tanpa sebarang sekatan.

Tanamkan keyakinan dalam diri anak-anak anda bahawa mereka mampu mengawal keadaan dengan mengajar mereka tentang langkah proaktif yang boleh diambil semasa duduk di rumah. 

Contohnya, tunjukkan kepada mereka cara mencuci tangan yang betul. Jadilah contoh yang terbaik kepada anak-anak anda. Bimbing mereka untuk mengikuti protokol PKP yang sepatutnya supaya seisi keluarga kekal sihat dan selamat.

Image via: joey333/iStock

Berkomunikasi mengikut gaya pemikiran dan usia anak anda

Jangan kongsikan maklumat atau butiran tambahan yang tidak perlu. Matlamat anda adalah untuk berkomunikasi dengan anak-anak secara berhemah. Pastikan mereka faham bahawa anda akan melindungi mereka dalam apa jua keadaan. Jika anak-anak anda bertanya kepada anda dan anda tidak pasti jawapannya, ajaklah mereka untuk mencari solusi bersama-sama.

Anda boleh memberi respons seperti ini: “Jom kita layari https://khabarbaik.my/my-nation/becauseunificares/ untuk dapatkan jawapan bersama-sama.” Anda juga boleh berkata, “Ramai saintis dan doktor yang sedang menolong kita melawan pandemik ini. Mari bantu mereka dengan terus kekal di rumah dan jangan lupa basuh tangan kita.” Elakkan bahasa yang meletakkan kesalahan kepada sesuatu bangsa, negara atau haiwan dalam mendidik anak-anak tentang penyebaran wabak COVID-19.

Image via: Photo smile

Gunakan teknologi dengan bijak

Dalam keadaan sekarang, sebilangan besar ibu bapa bergantung kepada internet untuk bekerja dari rumah. Memang benar keajaiban zaman digital membawa banyak kebaikan kepada anak-anak semasa tempoh PKP ini: pembelajaran jarak jauh, playdate maya dan panggilan video untuk mengubat rindu kepada saudara-mara. Tetapi realitinya, kanak-kanak sentiasa terdedah kepada risiko ledakan informasi yang dapat mengganggu kesejahteraan psikologi dan emosi mereka.

Sebagai ibu bapa, tanggungjawab anda ialah mengawal apa yang dilihat atau didengar oleh anak-anak. Berita palsu juga boleh memudaratkan pemikiran anak kecil yang tidak dapat membezakan hiperbola daripada fakta. 

Ibu bapa harus menjadikan diri mereka sebagai sumber yang paling dipercayai oleh anak-anak. Anak-anak anda hendaklah merasa bahawa mereka boleh bergantung kepada anda pada bila-bila masa dan di mana sahaja untuk menjaga keselamatan dan menyampaikan maklumat sebenar kepada mereka.

#sTayhoMe #stayConnected #dudukrumah #kekalberhubung #kekalwaspada #kekalselamat #kekalsihat #kekaltabah #kekaldilayani #kekalbermaklumat #kekalterhibur

#DigitalMalaysia