Elaun? Diskaun? Senarai Faedah Kad OKU Yang Tak Ramai Tau

Banyak juga pengecualian untuk golongan OKU

Seperti negara maju yang lain, Malaysia amat mengambil berat tentang kebajikan warga OKU. Kad OKU yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia sememangnya menawarkan banyak faedah yang mungkin lebih ‘menarik’ daripada diskaun-diskaun lain yang sedia ada.

Pemegang Kad OKU yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) layak menerima pelbagai keistimewaan yang telah dipersetujui oleh kerajaan. Apakah keistimewaan tersebut? Adakah ia lebih kepada diskaun beli-belah?

Inilah senarai kemudahan dan keistimewaan yang layak dimiliki oleh pemegang Kad OKU:

1. Pengecualian bayaran rawatan perubatan

Pengecualian ini adalah antara yang paling penting untuk seorang pemegang Kad OKU, lebih-lebih lagi yang kerap berulang-alik ke hospital. Pemegang Kad OKU dikecualikan daripada apa-apa bayaran rawatan perubatan, jadi kalian tak perlulah risau lagi! Bab perubatan, anda bakal dijaga dengan baik dan secara percuma.

2. Elaun RM150 sebulan untuk pelajar sekolah

Golongan OKU yang sudah melepasi fasa persekolahan mungkin banyak cerita dan kenangan pahit manis di bangku sekolah. Untuk memudahkan pengalaman belajar tersebut, elaun sebanyak RM150 diberikan kepada pelajar OKU setiap bulan untuk menangani cabaran dan melengkapi diri dengan barang-barang keperluan seperti buku, alat tulis, beg sekolah, kasut sukan dan sebagainya.

3. Diskaun/potongan 40% yuran pengajian di Open University

Yang menariknya tentang Open University ini adalah konsepnya yang membolehkan anda bekerja sambil belajar. Mungkin konsep ini sedikit mencabar, tapi ideanya efektif dan praktikal dalam era ekonomi yang sangat menitikberatkan pengalaman bekerja. Jika anda penuhi semua kriteria yang diperlukan, diskaun sebanyak 40% boleh dinikmati jika anda mahu sambung pengajian anda di Open University.

4. Diskaun penerbangan domestik Malaysia Airlines

Bagi OKU yang kaki travel, Malaysia Airlines juga memberi diskaun sehingga 50% untuk penerbangan dalam negeri. Okay la tu, maksudnya golongan OKU boleh membeli tiket kapal terbang dari KL ke Pulau Pinang dengan harga tiket kereta api! Bolehlah selalu ke Deen Maju, kan?

Bagaimanapun, diskaun ini hanya dapat ditebus melalui pembelian tiket di kaunter saja. Tak mengapa, diskaun tetap diskaun!

5. Diskaun/potongan 20% pembelian rumah

Untuk geng yang minat untuk membeli rumah, anda layak menerima potongan sebanyak 20%. Jadi, jika anda sudah lama impikan rumah idaman berharga RM1 juta di Bangsar yang lengkap dengan taman bunga, anda hanya perlu membayar sebanyak RM800,000 sahaja. Secara realistiknya, rumah yang berharga RM200,000 kini boleh dimiliki dengan diskaun 20% tersebut.

6. Diskaun unifi dan internet pantas

Siapa yang tak suka internet laju kan? unifi percaya yang semua rakyat Malaysia berhak untuk mendapat akses kepada internet berkelajuan tinggi. Dengan pakej ‘Home Broadband’ eksklusif untuk OKU, anda boleh dapatkan pelan jalur lebar 100Mbps dengan harga RM119 berserta 600 minit masa bercakap (panggilan suara percuma) ke semua talian di seluruh Malaysia. Berminat nak daftar? Kunjungi TMpoint berdekatan dan bawa bersama Kad OKU anda.

7. Diskaun Aquaria

Buat pencinta haiwan laut, Aquaria KLCC ada menyediakan penjimatan hebat kepada warga OKU. Diskaun ini membolehkan warga OKU menikmati keindahan kehidupan marin seperti ikan yu, obor-obor dan anjing laut dengan harga yang cukup berpatutan. Jangan lupa basuh tangan selepas menyentuh tapak sulaiman di sana!