Lawan COVID-19: Peranan dan Tanggungjawab Kita Semua

#inikami Adakah anda sudah bersedia?

Cover photo via cottonbro

Perjuangan untuk melawan pandemik COVID-19 bukan terletak di bahu petugas barisan hadapan atau frontliners sahaja. Setiap daripada kita hendaklah menjalankan peranan masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Pada masa yang sama, berilah sokongan kepada hero-hero negara seperti para doktor dan jururawat yang kini sedang bertungkus lumus untuk mengawal penularan wabak tersebut.

Sekiranya anda juga ingin memainkan peranan anda, ikuti panduan berikut untuk mengenal pasti senarai perkara yang wajib dan wajar anda lakukan agar kita semua dapat bersama-sama menangani penularan wabak COVID-19 ini, walau hanya di rumah sendiri.

1. Duduk rumah diam-diam

Masih berhajat untuk lepak di kedai mamak dengan member anda? Lupakan saja dan jadilah warganegara Malaysia yang bertanggungjawab! Tugas yang paling penting untuk kita laksanakan pada waktu ini adalah untuk terus kekal berada di rumah. Fahami dan ikuti arahan kerajaan sepanjang tempoh PKP. Langkah yang diambil semuanya bertujuan untuk menghalang rantaian penularan virus COVID-19.

2. Berhenti sebarkan berita palsu

Image via Mumbrella Asia

Kurma dan daun ketum boleh membantu ‘melawan’ COVID-19? Pelbagai cerita dan berita palsu mengenai virus ini sedang tular di media sosial. Sebagai rakyat yang bijak, kita perlu dapatkan maklumat yang sahih dan tepat, contohnya dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri.

Menyebarkan laporan palsu dan mengelirukan orang ramai boleh menyebabkan kekacauan di kalangan masyarakat. Jadi, periksalah sumber anda terlebih dahulu dan pastikan berita yang anda mahu kongsikan adalah sahih.

3. Semak kesahihan berita atau laporan yang diterima di laman media sosial

Image via Ars Technica

Seandainya anda menerima sebarang maklumat melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter, pastikan anda menyemak kesahihan berita tersebut terlebih dahulu. Pastikan rakan, keluarga atau pengikut media sosial anda turut melakukan perkara yang sama. Ini kerana ada pengguna media sosial yang bersikap acuh tak acuh dan tidak ambil peduli, apatah lagi untuk mengambil tindakan lanjut, menyiasat atau melaporkan isu yang timbul kepada pihak berkuasa.

Jika anda tidak mahu melalui proses pengaduan, jangan memilih untuk berdiam diri. Sekurang-kurangnya anda boleh memperjelaskan tentang maklumat palsu tersebut kepada kawan-kawan yang menerima berita yang sama. Dengan cara ini, berita palsu tidak akan terus tersebar.

4. Pentingkan kebersihan

Kementerian Kesihatan telah mengingatkan kita supaya terus menjaga kebersihan. Ini termasuklah memastikan persekitaran anda selalu terjaga, termasuklah bilik tidur, ruangan dapur dan bilik mandi.

Selain itu, anda juga harus mengutamakan kebersihan diri anda terlebih dahulu. Pastikan anda menggunakan cecair pencuci tangan atau hand sanitiser dengan betul. Cuci tangan selama 20 saat dan elakkan daripada menyentuh muka anda.

5. Ambil langkah berjaga-jaga ketika membeli-belah

Image via Squamishchief

Seperti yang kita sedia maklum, PKP bukanlah lockdown. Oleh itu, kita masih boleh keluar untuk mendapatkan keperluan penting seperti makanan dan ubat-ubatan atau membeli kelengkapan harian.

Walau bagaimanapun, masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mengamalkan pengasingan sosial berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan. Jangan lupa patuhi pelbagai nasihat KKM berkaitan COVID-19. Umpamanya, apabila anda membeli barangan runcit, jarakkan diri anda sekurang-kurangnya 1 meter dari individu lain.

6. Sebarkan perkongsian yang lebih positif

Coldplay, sebuah kugiran dari UK dan juga John Legend, penyanyi R&B tersohor baru-baru ini telah menganjurkan konsert percuma yang disiarkan secara langsung melalui Instagram. Muzik yang mereka hasilkan telah berjaya menghiburkan ribuan peminat mereka yang berada di rumah.

Mungkin anda juga boleh melakukannya. Anda tidak perlu menyanyi atau menari untuk menghiburkan pengikut media sosial anda. Hanya dengan berkongsi kata-kata dan cerita yang positif sudah cukup. Kita juga perlu elakkan sikap menuding jari dan menyebarkan kebencian. Marilah kita sama-sama menyampaikan cerita-cerita yang positif dan bermanfaat.

7. Sentiasa berhubung

Kerajaan sedang giat menyalurkan berita tentang COVID-19 dan langkah-langkah yang diambil untuk menangani masalah ini melalui media sosial dan lain-lain. Penting untuk anda peka dengan situasi terkini dan tingkatkan pengetahuan anda sebanyak mungkin.

Anda juga boleh kunjungi halaman khas yang kami sediakan di laman web kami. Halaman ini sarat dengan informasi yang anda perlukan untuk mengikuti perkembangan semasa berkenaan pandemik COVID-19, mengetahui dengan lebih lanjut tentang PKP dan banyak lagi. Anda boleh layarinya di sini.

8. Bertenang dan berdoa

Image via New York Spirit

Anda telah melakukan kesemua perkara di atas? Sekarang tiba masanya untuk berdoa dan memohon kepada-Nya agar segala kesulitan yang kita hadapi ini akan berjaya diatasi tidak lama lagi. Tidak perlu panik kerana paranoia hanya akan membawa lebih banyak kemudaratan.

Gunakanlah masa yang terluang untuk mengeratkan hubungan dengan keluarga yang tersayang. Nikmati teh panas bersama-sama atau cuba resipi baru. Jika juadah dihidangkan dan dimakan beramai-ramai, sudah tentu keakraban dapat dirasai. Sementara kita masih di dalam fasa PKP ini, anda juga boleh menonton rancangan-rancangan menarik di unifi TV tanpa sebarang caj.

Akhir kata, andai kita semua ikhlas dan komited dalam memainkan peranan masing-masing, tidak mustahil kita dapat mengatasi masalah yang melanda negara kita ini dalam masa yang terdekat.

 

#sTayhoMe #stayConnected #stayinformed #stayproductive #staynourished #stayentertained #stayontopofthings #stayconnectedtotheworld

#DigitalMalaysia