Berkat Doa Ibu: Cerita Anak Sabah Ini Jadi Inspirasi

Sampai “bosan” naik kapal terbang? Jom baca kisah penuh warna-warni ini

“Mak, bila kita nak rasa naik kapal terbang?”

tanya Amir sambil mendongak ke langit. Mata anak kecil itu tidak berkelip memerhatikan sebuah pesawat terbang tinggi menembusi awan Bongawan yang tersusun indah, sempurna seperti lukisan. Mak pula, walaupun sibuk menyabit padi, masih sempat melayan kerenah si anak.

“Nantilah nak... satu hari nanti, kau akan bosan naik kapal terbang.”

Siapa sangka perbualan singkat dengan ibunya bertahun-tahun yang lalu dapat mencetus transformasi dalam diri Encik Amirshah Idris. Hari ini, hidup Amir telah banyak berubah. Beliau seolah-olah seorang selebriti di kalangan penjawat-penjawat TM, warga unifi dan bekas teman-teman seperjuangannya di Menara TM, Bangsar. Malah, ketika beliau sedang ditemu ramah untuk artikel ini, ramai yang datang menegur Amir dan singgah bertanya khabar.

Amir bukanlah seorang penyanyi atau YouTuber terkenal. Beliau hanyalah seorang daripada ribuan tenaga kerja TM. Tetapi Amir meninggalkan impak yang cukup besar di ibu pejabat TM ini.

Amirshah boleh dikira sebagai ‘otai’ yang sentiasa ceria, murah dengan senyuman serta terkenal dengan sikap ramah dan suka membantu. Semasa sesi perbualan kami, Amir kelihatan yakin dengan dirinya dan tampil bersemangat untuk berkongsi pengalaman suka dan duka.

Kisah hidup beliau umpama filem underdog Hollywood yang menyusuri perjuangan seorang hero yang cekal berdepan dengan pelbagai rintangan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dan mengenal dunia.

Berkawan dengan sabit

Sawah padi di kampung halaman Amir

“Saya lahir dalam keluarga yang susah,” akui Amir memulakan bicara. “Keluarga saya dulu tanam padi di sawah. Bila balik dari sekolah, saya akan baca buku, buat homework di rumah-rumah kecil di bendang yang orang Sabah panggil ‘sulap’. Selepas waktu sekolah, itulah hidup saya. Kawan-kawan saya adalah padi, sabit, beras. Padi yang kami tuai itu dijadikan beras untuk makanan kami sekeluarga. Itulah hasil titik peluh kami.”

Amir (tiga dari kanan) bersama keluarga

Amir (kanan) dan abang beliau Nazri semasa kecil

Kehidupan beliau sewaktu zaman kanak-kanak benar-benar mengajar Amir untuk berdikari dan mengenal erti usaha. Amir tetap berpegang kepada prinsip tersebut di usia remaja sehinggalah dewasa. Setelah Amir mengakhiri fasa pengajian tingginya pada umur 23 tahun, beliau terus ‘dilamar’ oleh Khazanah Nasional untuk mengendalikan projek Pintar Foundation.

Bersama rakan-rakan UMS semasa lawatan ke Brunei

Majlis konvokesyen di UMS

“Perjalanan karier saya bermula di Pintar Foundation. Saya diberi tanggungjawab menjalankan projek CSR. Macam-macam saya perlu buat, antaranya mengajar pelajar-pelajar luar bandar di dalam bas. Satu Malaysia kami tour, dari Kodiang sampailah ke Tanjung Pelepas. Saya ajar mereka tentang alam sekitar, kebersihan, macam mana nak berus gigi pun ada!”

Amir (kanan) dan bekas rakan sekerja beliau

“Mencabar jugalah, sebab saya ni orang Sabah. Kalau cakap Sabah nanti orang tak faham pula, jadi saya belajarlah cakap dialek-dialek lain. Masuk Kelantan, saya cuba kecek Kelate, walaupun tak sempurna. Masuk kampung orang asli, saya cuba sedaya upaya untuk gunakan bahasa yang senang difahami.”

Tidak lama kemudian, Amir mendapat tawaran kerja daripada Telekom Malaysia, khususnya di jabatan yang kini dikenali sebagai unifi. Dari CSR ke HR, Amir selalu memberikan 100% dalam apa jua skop kerja beliau dan kekal tabah menghadapi cabaran.

Namun, dalam kesibukan membina kerjaya bersama TM, Amir menyimpan satu harapan. Walaupun Amir suka bekerja di Kuala Lumpur, hatinya masih di Papar, Sabah bersama ibu, isteri dan seluruh keluarganya. Amir tak pernah lupa akan asal usulnya, seorang anak muda kelahiran Negeri di Bawah Bayu yang dulunya berkawan dengan sabit, kini berkawan dengan komputer.

Amir bersama isteri & ibu bapa beliau semasa majlis persandingan

Amir dan isteri

Ramuan istimewa

Apa yang menariknya tentang cerita Amir ini ialah resipi kejayaan beliau. Di sebalik keazaman untuk terus bangkit melawan dugaan, ada ramuan istimewa yang menjadikan kejayaannya lebih manis daripada biasa: doa seorang ibu.

“Bila saya tiba di Kuala Lumpur buat pertama kalinya, doa Maklah yang mengiringi saya. Saya ni orang Sabah yang tak pernah kenal tol, tak pernah kenal highway. Berbekalkan doa Mak, saya beranikan diri bawa kereta keliling satu Malaysia, GPS pun tak ada!” Amir mengimbau kembali kenangan masa lalu yang beliau harungi. Dari kerut dahinya, imbauan tersebut bukan semuanya indah.

“Bukan senang nak survive di Kuala Lumpur. Ada satu masa sampai saya tak ada duit walau seringgit pun dalam dompet.”

Ketika itu gaji saya RM1,000. Tapi berkat doa Mak, alhamdulillah, rezeki saya bertambah sejak saya mula berkhidmat di TM. Bila naik gaji, separuh gaji saya beri kepada Mak dan keluarga di kampung. Kebahagiaan saya adalah keluarga saya.”

Kesan doa Mak yang luar biasa

Pada tahun 2019, Amir berkesempatan menunaikan umrah buat pertama kalinya. Di Tanah Suci Mekah, Amir berdoa untuk memohon tiga perkara: kurniaan zuriat, peluang Mak untuk menunaikan fardu haji dan peluang untuk bekerja di Sabah. Alhamdulillah, dengan limpah kurnia dan izin-Nya, Mak mendapat panggilan untuk menunaikan haji pada tahun yang sama.

Tak lama selepas Mak pulang dari Mekah, Amir terima satu kejutan – satu khabar baik yang sudah lama dinanti-nantikan.

“Satu hari, unifi call saya,” kata Amir. Ketika itu beliau ada program di Perak. Rupanya panggilan tersebut daripada HR dan mereka berhajat untuk bertanyakan soalan yang membuatkan Amir terkejut:

“Amir, you nak pindah Sabah ke?”
“Uh…ada kosong ke?”
“Ada, untuk State PR.”
Seriously?!
“Betul, kami nak offer you. You pernah tanya dulu, kan?”

Amir terduduk. Barulah Amir teringat pesan Mak tentang doanya di Mekah. Ketika di Tanah Suci, Mak doakan agar Amir kembali ke pangkuan keluarga selepas 15 tahun di perantauan.

Segalanya bermula dengan pertanyaan seorang anak kecil yang menyuarakan keinginannya untuk menaiki kapal terbang. Soalan itulah yang menjadi titik permulaan berkat doa seorang ibu yang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anaknya. Doa ibu Amir menjadi nadi kehidupannya.

“Kejadian kapal terbang itulah yang memberi kesan mendalam sehingga kini.”

Sejak hari itu, saya bekerja lebih keras. Sebab saya nak keluar dari kampung. Nak tolong Mak, nak ubah hidup saya.”

Sambungnya lagi, “Sampai hari ini, kalau tiada doa Mak, mungkin saya tak boleh hidup. Bila saya masuk alam perkahwinan pun, sebelum tu dia dah dapat jangka yang saya akan kahwin dengan best friend saya. Dia dah nampak. Tak taulah, mungkin Tuhan bagi dia instinct yang hebat. Macam yang dia cakap, ‘satu hari nanti kau akan bosan naik kapal terbang.’ Sekarang, perkara tu dah jadi kenyataan.”

Kini Amirshah sudah kembali bertugas di Sabah dan masih lagi setia bersama TM. Beliau bahagia ditemani isteri yang tercinta. Amir tak perlu lagi terbang merentasi Laut China Selatan untuk menikmati nyaman angin desa bersama keluarganya. Kini, Mak dan juga Ayah yang menjadi ‘nyawa’ Amir selama ini tidak lagi merindukan anak yang dahulunya jauh di mata. Mungkin suatu hari nanti, peluang kita pula untuk mencapai impian dan “bosan naik kapal terbang”, kan?